Tuesday, September 2, 2014

Majlis Pelancaran Jenama Preka Kraftangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2014 bersamaan dengan 2 Zulkaedah 1435H, Bahagian Rekaan Ibu Pejabat telah mengadakan Majlis Pelancaran Jenama Preka Kraftangan Malaysia yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sohaimi Bin Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur Jam 12.00 tengahari. Seramai 30 wakil media telah dijemput untuk hebahan.
Antara peranan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia adalah mempelbagaikan produk kraf tempatan dan disepanjang penubuhan ini juga telah banyak produk-produk baru yang dihasilkan oleh pereka-pereka Kraftangan Malaysia melalui kajian dan penyelidikan yang dijalankan mengikut kehendak pasaran semasa selain mengekalkan ciri-ciri tradisi tempatan.
Dahulunya kraf tempatan hanya dikenali sebagai suatu industri tradisi dan hanya untuk keperluan hiasan, rujukan dan hobi. Justeru itu bagi mengubah persepsi tersebut pereka-pereka Kraftangan Malaysia di beri tanggungjawab dalam mengembalikan kegemilangan kraf tempatan melalui penghasilan rekaan-rekaan produk baru yang sesuai dengan keadaan dan cita rasa semasa. Oleh yang demikian Bahagian Rekaan, Kraftangan Malaysia pada awal tahun 2013 telah mewujudkan satu jenama iaitu Preka bagi mengangkat imej baru kraf tempatan selain mengekalkan kualiti rekaan produk yang memenuhi cita rasa setiap peringkat masyarakat tempatan dan luar negara. Penjenamaan produk kraf baru ini mempunyai identiti tersendiri dari aspek reka bentuk, fungsi, estetika, tradisi dan nilai komersial.
Jenama Preka merupakan singkatan perkataan Pereka, iaitu pereka-pereka Kraftangan Malaysia yang komited di dalam menghasilkan rekaan – rekaan baru produk kraf tempatan dengan kerjasama pengusaha – pengusaha kraf tempatan dari pelbagai bidang kemahiran kraf (kayu, anyaman, tenunan, logam, seramik dan aneka kraf). Jenama Preka bukan sekadar pada jenama sahaja, malah produk yang dihasilkan melalui jenama ini boleh diperoleh di rangkaian kedai jenama Preka yang terdapat di beberapa tempat mengikut segmen produk seperti hadiah & cenderamata pelancong / korporat, pakaian dan aksesori, seramik dan hiasan dalaman.
Antara outlet-outlet jenama Preka yang telah beroperasi adalah seperti yang berikut :

1.  Kedai jenama Preka di Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Pakaian, aksesori, hadiah &  cenderamata dan hiasan dalaman).
2.    Kedai jenama Preka Ceramics di Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Produk seramik hiasan,  cenderamata & hadiah, seramik taman).
3.   Kedai jenama Preka di Menara MARA, Kuala Lumpur (Produk hadiah dan cenderamata  korporat).
4.  Kedai jenama Preka di Kompleks Kraf Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah &  cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
5.  Kedai jenama Preka di Pantai Tengah, Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah &  cenderamata dan hiasan dalaman).
6.  Kedai jenama Preka di Pasar Seni, Kuala Lumpur (Produk hadiah dan cenderamata pelancong berasaskan veneer & kayu).
7.      Kedai jenama Preka di ATV Adventure Park, Bukit Larut, Perak (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata).
8.  Produk jenama Preka di Kg. Genting, Pulau Tioman kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
9.  Produk jenama Preka di Kg. Salang di Pulau Tioman kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
10. Produk jenama Preka di Telaga Harbour Langkawi  kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
11.  Produk jenama Preka di Malaysia Crafts kiosk, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).

Peranan kedai Preka bukan hanya khusus untuk mendapatkan nilai jualan semata-mata malah menjadi tempat pereka-pereka menganalisis maklumat produk yang terjual sebagai rujukan dalam proses pembangunan rekaan produk baru mengikut segmen produk, pasaran dan untuk pengeluaran usahawna kraf yang bersesuaian. Lebih daripada 1000 jenis produk baru terdapat di dalam rangkaian kedai jenama Preka sejak ia mula beroperasi pada 2013 hingga Julai 2014.

Bagi mengukuhkan lagi jenama Preka, Kraftangan Malaysia telah mendaftarkan jenama ini di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan dalam proses untuk di iklankan sebagai satu jenama yang berdaftar secara rasmi.