Monday, April 27, 2015

Mesyuarat Pereka dan Pembangunan Produk Bilangan 1/2015

BAHAGIAN REKAAN – Pada 15 hingga 18 April yang lalu, Bahagian Rekaan Ibu Pejabat telah mengadakan Mesyuarat Pereka dan Pembangunan Produk Bilangan 1 / 2015 yang bertempat di Holiday Villa Beach Resort and Spa Cherating, Pahang. Seramai 53 orang pereka kraf Ibu Pejabat dan Cawangan telah mengikuti aktiviti ini.


Mesyuarat Pereka dan Pembangunan Produk ini bertujuan untuk mengumpulkan semua pereka Bahagian Rekaan Kraftangan Malaysia Ibu Pejabat dan Cawangan dalam mewujudkan kerjasama yang harmoni dan mesra untuk sama-sama berdiskusi, berbahas dalam menghasilkan idea-idea kreatif yang baru dan bertepatan dengan kehendak pasaran dalam pembangunan reka bentuk produk kraf. Objektif mesyuarat ini adalah sebagai persediaan dalam membangunkan produk baru tahun 2015 /2016 yang lebih menumpukan kepada aspek komersil. Didalam mesyuarat ini juga, konsep pembangunan produk 2016 juga telah dibincangkan dan bakal diketengahkan kelak. Di samping itu, beberapa aktiviti dilaksanakan seperti pengisian aktiviti semangat berpasukan, pengisian rohaniah yang bertajuk ‘Erti Sakinah Dalam Berkarya’ daripada Ustaz Badlishah Bin Alaudin dan aktiviti pengisian kreativiti yang bertajuk ‘Idea Karya Kualiti Kepada Kuantiti’ daripada Ybhg. Professor Dr. Muliyadi Bin Mahamood.

Friday, April 24, 2015

Program sempena Minggu Budaya Malaysia 2015 dan Pameran Intangible Cultural Heritage di Paris

BAHAGIAN REKAAN – Pada 13-16 April 2015 telah berlangsungnya Program Minggu Budaya Malaysia di Paris dan Pameran Intangible Cultural Heritage di ibu pejabat UNESCO Paris yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Ia juga melibatkan beberapa agensi lain seperti Kraftangan Malaysia, Jabatan Warisan Negara, Istana Budaya, Balai Seni Visual Negara dan juga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Lokasi kali ini bertempat di perkarangan Place du Palais Royal iaitu tempat tumpuan pelancong di mana latarnya merupakan salah satu muzium terkenal di Paris - Muzium The Louvre. Acara perasmian telah dijalankan pada 14 April 2015 dan dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penglibatan Kraftangan Malaysia dalam acara ini adalah dari segi penjualan produk kraf yang disertai oleh beberapa orang usahawan iaitu Jafiqa Couture,Gadengmas, Asli Kraf Sdn Bhd, KZ Craft,dan juga DSNadia. Selain daripada promosi jualan kraf, Kraftangan Malaysia juga ditugaskan untuk menyelaraskan aktiviti pertunjukan fesyen dan juga demonstrasi batik di pejabat UNESCO sempena pameran Intangible Cultural Heritage yang diadakan pada tarikh yang sama. Sebagai pengisian acara, banyak juga aktiviti galakkan pengunjung yang telah dijalankan seperti permainan tradisional dan juga demonstrasi makanan tempatan. Pengunjung juga disajikan dengan persembahan pentas seperti tarian pelbagai kaum dan etnik, permainan tradisional dan aktiviti-aktiviti lain yang mencerminkan budaya Malaysia.


Program ini juga merupakan cubaan pertama Minggu Budaya Malaysia ini dijalankan di sini, sambutan yang diberikan terhadap acara sebegini amat memberangsangkan dan secara tidak lansung mendekatkan lagi sosio budaya masyarakat Malaysia di mata dunia. Sumbangan yang diberikan mungkin sedikit, namun impak yang diberikan oleh masyarakat tempatan di luar jangkaan.  Semoga acara seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang berikutan sambutan yang diberikan sepanjang program berlangsung.


Wednesday, April 8, 2015

Peragaan Fesyen B to B sempena Hari Kraf Kebangsaan 2015

KUALA LUMPUR,  pada 31 Mac hingga 2 April 2015 yang lalu, telah diadakan kolaborasi  diantara 28 usahawan dan 28 pereka fesyen tempatan bagi menghasilkan koleksi rekaan yang bertemakan ‘resort wear’. Program ini telah diselaraskan oleh pereka terkenal di Malysia iaitu Datuk Radzuan Radziwill dengan jalinan kerjasama daripada Kraftangan Malaysia. Peragaan Fesyen B to B ini telah memperagakan sebanyak 409 helai koleksi pakaian batik bersempena dengan Hari Kraf Kebangsaan yang telah berlangsung bermula 26 Mac hingga 7 April  2015 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Peragaan fesyen ini juga turut dihadiri oleh pembeli-pembeli dari dalam dan luar negara.