Tuesday, September 2, 2014

Majlis Pelancaran Jenama Preka Kraftangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2014 bersamaan dengan 2 Zulkaedah 1435H, Bahagian Rekaan Ibu Pejabat telah mengadakan Majlis Pelancaran Jenama Preka Kraftangan Malaysia yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sohaimi Bin Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur Jam 12.00 tengahari. Seramai 30 wakil media telah dijemput untuk hebahan.
Antara peranan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia adalah mempelbagaikan produk kraf tempatan dan disepanjang penubuhan ini juga telah banyak produk-produk baru yang dihasilkan oleh pereka-pereka Kraftangan Malaysia melalui kajian dan penyelidikan yang dijalankan mengikut kehendak pasaran semasa selain mengekalkan ciri-ciri tradisi tempatan.
Dahulunya kraf tempatan hanya dikenali sebagai suatu industri tradisi dan hanya untuk keperluan hiasan, rujukan dan hobi. Justeru itu bagi mengubah persepsi tersebut pereka-pereka Kraftangan Malaysia di beri tanggungjawab dalam mengembalikan kegemilangan kraf tempatan melalui penghasilan rekaan-rekaan produk baru yang sesuai dengan keadaan dan cita rasa semasa. Oleh yang demikian Bahagian Rekaan, Kraftangan Malaysia pada awal tahun 2013 telah mewujudkan satu jenama iaitu Preka bagi mengangkat imej baru kraf tempatan selain mengekalkan kualiti rekaan produk yang memenuhi cita rasa setiap peringkat masyarakat tempatan dan luar negara. Penjenamaan produk kraf baru ini mempunyai identiti tersendiri dari aspek reka bentuk, fungsi, estetika, tradisi dan nilai komersial.
Jenama Preka merupakan singkatan perkataan Pereka, iaitu pereka-pereka Kraftangan Malaysia yang komited di dalam menghasilkan rekaan – rekaan baru produk kraf tempatan dengan kerjasama pengusaha – pengusaha kraf tempatan dari pelbagai bidang kemahiran kraf (kayu, anyaman, tenunan, logam, seramik dan aneka kraf). Jenama Preka bukan sekadar pada jenama sahaja, malah produk yang dihasilkan melalui jenama ini boleh diperoleh di rangkaian kedai jenama Preka yang terdapat di beberapa tempat mengikut segmen produk seperti hadiah & cenderamata pelancong / korporat, pakaian dan aksesori, seramik dan hiasan dalaman.
Antara outlet-outlet jenama Preka yang telah beroperasi adalah seperti yang berikut :

1.  Kedai jenama Preka di Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Pakaian, aksesori, hadiah &  cenderamata dan hiasan dalaman).
2.    Kedai jenama Preka Ceramics di Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Produk seramik hiasan,  cenderamata & hadiah, seramik taman).
3.   Kedai jenama Preka di Menara MARA, Kuala Lumpur (Produk hadiah dan cenderamata  korporat).
4.  Kedai jenama Preka di Kompleks Kraf Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah &  cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
5.  Kedai jenama Preka di Pantai Tengah, Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah &  cenderamata dan hiasan dalaman).
6.  Kedai jenama Preka di Pasar Seni, Kuala Lumpur (Produk hadiah dan cenderamata pelancong berasaskan veneer & kayu).
7.      Kedai jenama Preka di ATV Adventure Park, Bukit Larut, Perak (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata).
8.  Produk jenama Preka di Kg. Genting, Pulau Tioman kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
9.  Produk jenama Preka di Kg. Salang di Pulau Tioman kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
10. Produk jenama Preka di Telaga Harbour Langkawi  kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
11.  Produk jenama Preka di Malaysia Crafts kiosk, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).

Peranan kedai Preka bukan hanya khusus untuk mendapatkan nilai jualan semata-mata malah menjadi tempat pereka-pereka menganalisis maklumat produk yang terjual sebagai rujukan dalam proses pembangunan rekaan produk baru mengikut segmen produk, pasaran dan untuk pengeluaran usahawna kraf yang bersesuaian. Lebih daripada 1000 jenis produk baru terdapat di dalam rangkaian kedai jenama Preka sejak ia mula beroperasi pada 2013 hingga Julai 2014.

Bagi mengukuhkan lagi jenama Preka, Kraftangan Malaysia telah mendaftarkan jenama ini di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan dalam proses untuk di iklankan sebagai satu jenama yang berdaftar secara rasmi.




Wednesday, January 15, 2014

Peragaan Fesyen Sempena Majlis Sepetang Bersama DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tahun 2014

KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR, 15 Jan 2014 Kraftangan Malaysia telah terlibat  dalam peragaan fesyen bersempena dengan Majlis Sepetang Bersama DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tahun 2014  yang telah berlangsung di Padang Seri Menanti Kuala Pilah pada jam 11.30 pagi. Sebanyak 58 helai koleksi rekaan pakaian telah diperagakan pada hari tersebut. Semua koleksi yang dihasilkan menggunakan produk kraf tekstil iaitu Batik,Tenun dan Songket. 
Jurulapor : Aida Zulkaffli / Ruziyati

Friday, January 10, 2014

Peragaan Fesyen Sempena Lawatan Isteri Perdana Menteri Malaysia Dan Isteri Perdana Menteri Turki Ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur

KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR, 10 Jan  2014 Kraftangan Malaysia telah terlibat  dalam peragaan fesyen bersempena dengan Lawatan Isteri Perdana Menteri Malaysia Dan Isteri Perdana Menteri Turki  Ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang telah berlangsung di Laman Wau pada jam 2.00 petang. Sebanyak 16 helai koleksi rekaan pakaian muslimah telah diperagakan pada hari tersebut. Semua koleksi yang dihasilkan menggunakan produk kraf tekstil iaitu Batik. Antara Pereka Fesyen yang  turut terlibat dalam Peragaan itu ialah Albert King, Dato Tom Abang Saufi, Halta Dolmat.
Jurulapor : Aida Zulkaffli / Ruziyati

Saturday, January 4, 2014

Peragaan Fesyen Sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 ( VMY 2014 )

KUALA LUMPUR, 4 Januari 2014  Kraftangan Malaysia telah memperagakan koleksi pakaian berinspirasikan  ‘ 1 Malaysia ’  bersempena dengan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 yang bertempat di Dataran Merdeka. Pakaian daripada masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 20 helai koleksi pakaian telah diperagakan. Semua koleksi yang dihasilkan menggunakan kraf tekstil tempatan iaitu batik, tenun, pua , dastar dan songket. Koleksi pakaian yang diperagakan merupakan rekaan pereka Kraftangan Malaysia dan pemenang tempat kedua dan ketiga Pertandingan Rekaan Batik dan Fesyen Sempena Miss Tourism International 2013.
Jurulapor : Aida Zulkaffli / Ruziyati

Monday, December 2, 2013

Makmal Pembangunan Rekabentuk Seramik 2014

BAHAGIAN REKAAN - Pada 25 hingga 28 November 2013 yang lalu Unit Seramik, Bahagian Rekaan telah mengadakan Makmal Pembangunan Rekabentuk Produk Seramik 2014 yang berlangsung selama 4 hari 3 malam di Teluk Dalam Resort, Pulau Pangkor, Perak.
Makmal ini bertujuan untuk menghimpunkan beberapa orang pereka dan usahawan kraf seramik bagi menghasilkan rekaan-rekaan baru khususnya untuk Hari Kraf Kebangsaan 2014. Selain itu, makmal ini bertujuan memberi penerangan secara tepat kepada setiap peserta makmal mengenai konsep rekabentuk produk ‘Futuristic’. Terdapat empat fokus pembangunan rekaan produk yang dihasilkan iaitu produk cenderamata, tableware, interior studio product dan exterior product. Melalui bengkel yang dilaksanakan, para peserta telah dapat mengaplikasikan kefahaman yang dipelajari bagi menghasilkan idea yang baru dan segar.

Makmal ini telah disertai oleh seramai 22 orang peserta yang terdiri daripada pereka dan usahawan dibawah Kraftangan Malaysia. Antara usahawan yang terlibat dengan makmal ini adalah Techno Ceramic, Sentuhan Tembikar Kreatif, PO-G Pottery, Inani Kraf, Charisma Ceramis, TMS Craft Shope dan lain-lain. Sebanyak 237 rekaan produk telah dihasilkan sepanjang makmal ini dijalankan. 

Di samping itu, pereka dan usahawan juga disertakan dengan lawatan ke bengkel usahawan SH Clay Pot di Sungai Siput, Perak. Di kesempatan ini juga, perbincangan secara bersantai telah dapat di wujudkan bersama usahawan yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan kerjasama pada masa akan datang terutamanya dalam penghasilan Clay Pot secara komersial. Lawatan ini juga dihadiri oleh Pengarah Bahagian Rekaan Ibu Pejabat dan Pengarah Cawangan Perak.

Jurulapor : Ruziyati

Tuesday, November 26, 2013

Makmal Rekaan Produk Anyaman dan Perabot

BAHAGIAN REKAAN - Pada 19 hingga 23 November 2013 Unit Hasil Rimba, Bahagian Rekaan  telah mengadakan Makmal Rekaan Produk Anyaman (Pandan, Buluh, Bemban dan Rotan) dan Perabot (Kayu dan Buluh) yang berlangsung selama 5 hari di PNB Ilham Resort, Port Dickson Negeri Sembilan.
Makmal ini bertujuan untuk menghasilkan prduk baru kraf kontemporari yang memenuhi dan mempelbagaikan pilihan pengguna masa kini. Penghasilan rekaan ini bertemakan konsep Futuristic yang akan dipasarkan pada Hari Kraf Kebangsaan 2014. Selain itu juga, konsep kerjasama di antara pereka, usahawan berpengalaman dan usahawan baru ini dapat membantu pertukaran idea dan kemahiran dalam membangunkan rekaan produk baru yang lebih berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran. Input baru yang diterapkan dapat memberi nafas baru pada perkembangan industri.

Makmal ini telah disertai oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pereka dan usahawan dibawah Kraftangan Malaysia. Sebanyak 226 rekaan produk telah dihasilkan sepanjang makmal ini dijalankan. Antara fokus pembangunan rekaan produk yang dihasilkan adalah keperluan rumah, pelancongan, senibina dan taman.

Jurulapor : Ruziyati Garan

Thursday, November 21, 2013

Mesyuarat Pereka dan Team Builiding Bil. 3/2013

BAHAGIAN REKAAN – Pada 8 hingga 11 November yang lalu, Bahagian Rekaan Ibu Pejabat telah mengadakan Mesyuarat Pereka dan Team Building Bilangan 3/2013 yang bertempat di Mutiara Taman Negara, National Park, Pahang. Seramai 53 orang pereka kraf Ibu Pejabat dan Cawangan telah mengikuti aktiviti ini.

Mesyuarat Pereka dan Team Building ini bertujuan untuk mengumpulkan semua pereka Bahagian Rekaan Kraftangan Malaysia Ibu Pejabat dan Cawangan dalam mewujudkan kerjasama yang harmoni dan mesra untuk sama-sama berdiskusi, berbahas dalam menghasilkan idea-idea kreatif dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan berbeza dalam pembangunan reka bentuk produk kraf. Mesyuarat kali ini memberi penumpuan dalam membangunkan produk cenderamata sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 yang berinovasi dan berorientasikan pasaran semasa terutama untuk sasaran pelancong.

Mesyuarat kali ini juga disertakan dengan lawatan ke bengkel usahawan Temin Kraf dan Kayuma Industry. Di kesempatan ini juga perbincangan yang lebih bersantai dapat di wujudkan dengan usahawan bagi memberi input baru bagi meningkatkan kualiti produk usahawan.









Jurulapor : Ruziyati Garan

Monday, November 18, 2013

Peragaan Fesyen sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Majlis Pelancaran Jualan Akhir Tahun 1Malaysia 2013

ESPLANADE KLCC KUALA LUMPUR - Pada 17 November 2013 Kraftangan Malaysia telah terlibat dalam peragaan fesyen bersempena dengan Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Majlis Pelancaran Jualan akhir Tahun 1Malaysia 2013 yang telah berlangsung di Esplanade KLCC pada jam 2.00 petang. Konsep rekaan yang diketengahkan dalam peragaan fesyen ini adalah “Cubism Contemporary”.

Sebanyak 30 helai koleksi rekaan pakaian telah diperagakan yang terdiri daripada 10 helai koleksi kasual, 10 helai koleksi pakaian ‘cocktail’ dan 10 helai koleksi pakaian formal. Semua koleksi yang diperagakan menggunakan fabrik kraf tekstil batik. Koleksi pakaian kali ini merupakan hasil kolaborasi daripada pereka dan usahawan Kraftangan Malaysia.
Jurulapor : Aida Zulkaffli / Ruziyati 

Makmal Pembuatan Beg Fasa 11 sempena Hari Kraf Kebangsaan 2014

KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR - Pada 12 hingga 15 November 2013 Unit Fesyen, Bahagian Rekaan  telah mengadakan Makmal Pembuatan Beg Fasa II bersempena dengan Hari Kraf Kebangsaan 2014. Makmal ini telah berlangsung di Bistro Perkampungan Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Makmal ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman pereka tempatan dalam pembuatan beg menggunakan bahan Kraf dari segi menambah baik rekabentuk kekemasan dalam proses menghasilkan produk siap. Selain daripada itu menjadi landasan meningkatkan kemahiran praktikal serta ilmu untuk menjadi individu yang kreatif. Bengkel ini juga dapat menerapkan dan menyampaikan piawaian khusus kepada pereka agar memahami kualiti dan standard produk yang setanding dengan produk jenama antarabangsa. Makmal ini berpotensi untuk mengasah kreativiti bakat tempatan untuk menjadi seorang pengusaha yang berjaya dan berdaya saing serta dapat memperluaskan penggunaan bahan Kraf Malaysia seperti Batik, Tenun dan Songket mengikut aliran pasaran masa kini.

Makmal ini telah disertai oleh 8 orang peserta yang terdiri daripada pereka dan usahawan dibawah Kraftangan Malaysia. Sebanyak 3 rekaan telah dihasilkan sepanjang makmal ini dijalankan. Melalui rekaan tersebut sebanyak 24 produk siap telah dihasilkan. Antara produk yang dihasilkan ialah ‘shoulder Bag, ‘tote bag’, ‘wristlet beg’,  dan ‘shoulder bag with flap’.

Jurulapor : Aida Zulkaffli / Noor Azlina Ibrahim